KUALA LUMPUR: Jemputan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Kuala Lumpur dibuat atas kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, dan bukan jemputan rasmi bagi hubungan dua hala antara Malaysia dan AS.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, menjelaskan bahawa kehadiran Trump adalah sebagai rakan dialog ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan dihoskan di Kuala Lumpur.
“Trump ini bukan dijemput oleh Malaysia secara hubungan dua hala biasa, beliau merupakan ketua negara rakan dialog ASEAN.
Jemputan ini jemputan ASEAN, sebab kenduri ini kenduri ASEAN, bukan kenduri Malaysia, Malaysia hanya tuan rumah,” katanya pada sidang media di Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), pada Sabtu.
Menurutnya, Malaysia tidak mempunyai hak untuk menolak atau memilih ketua negara yang dijemput kerana ia adalah urusan bersama negara anggota ASEAN.
“Kita tak boleh nak kata negara itu tak dijemput atau dijemput. Itu bukan diplomatik yang baik. ASEAN berpegang kepada dasar rantau yang bebas, aman dan berkecuali,” katanya.
Beliau menegaskan, prinsip berkecuali merupakan asas kekuatan ASEAN yang memastikan semua negara rakan dialog diberi layanan adil tanpa prejudis.
Kenyataan itu menyusul selepas bantahan awam di hadapan Kedutaan AS dua hari lalu, yang mendesak kerajaan membatalkan jemputan kepada Trump berikutan sokongan Washington terhadap Israel dalam serangan ke atas Gaza.
Peserta himpunan turut menuntut agar AS menggunakan pengaruhnya untuk mendesak Israel membebaskan 23 sukarelawan Malaysia yang ditahan selepas menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).
Baca juga: