Jenazah Muhammad Luth Syauqi Nur Sufyan, 2, yang meninggal dunia selepas bertarung nyawa akibat termakan keropok yang mengandungi racun tikus, selamat dikebumikan pada jam 11.30 malam pada Sabtu.
Muhammad Luth dikebumikan bersebelahan pusara abangnya, Muhammad Akil Syauqi, 3, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan, Baling, Kedah.
Sebelum itu, Allahyarham dibawa dari Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) dan tiba di rumah neneknya di Kampung Banggol Berangan.
Jenazah kanak-kanak itu kemudian dibawa menaiki kenderaan ahli keluarganya ke Surau Lebai Ahmad jam 11.07 malam dengan diiringi kenderaan polis untuk disembahyangkan.

Media sebelum ini melaporkan, dua beradik lelaki berusia dua dan tiga tahun kritikal selepas makan keropok mengandungi racun yang digantung pada dawai pagar kawasan kebun milik jiran mereka di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Ahad lalu.
Bagaimanapun, Muhammad Akil Syauqi disahkan meninggal dunia jam 8.30 pagi Rabu lalu manakala adiknya meninggal dunia jam 1.20 petang Jumaat.