Jet Pejuang TUDM Lakukan Pendaratan Cemas Akibat Masalah Enjin

KOTA KINABALU: Suasana di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) malam tadi menjadi perhatian apabila sebuah jet pejuang F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilaporkan melakukan pendaratan cemas selepas mengalami masalah teknikal.

Difahamkan, pesawat berkenaan menghadapi masalah pada enjin kiri atau ‘left engine flame out’ sebelum berjaya mendarat dengan selamat pada pukul 7.47 malam, Selasa (20 Mei).

Selepas pendaratan, jet tersebut diparkir di Terminal 2 KKIA untuk pemeriksaan lanjut.

Keadaan pesawat dilaporkan baik dengan beberapa jurutera TUDM dilihat menjalankan pemeriksaan segera di lokasi.

Kejadian itu turut mencetuskan tanda tanya dalam kalangan orang ramai selepas bunyi dentuman kuat kedengaran di sekitar Sepanggar dan Kota Kinabalu sehingga menjadi perbualan hangat di media sosial.

Setakat ini, pesawat masih berada di Terminal 2 KKIA dan dipantau pihak berkaitan, manakala TUDM belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung insiden tersebut.

Anda Mungkin Berminat