JIM Bongkar Sindiket Penyalahgunaan Pas, Sistem PRA Dalam Talian

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya membongkar kegiatan penyalahgunaan pas serta manipulasi sistem permohonan Pembantu Rumah Asing (PRA) secara dalam talian menerusi dua operasi khas di Johor pada 2 dan 3 Mac lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi yang digerakkan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama JIM Johor menahan 17 suspek termasuk 16 warga asing dan seorang lelaki tempatan yang dipercayai dalang sindiket.

Dalam operasi pertama di Taman Setia Tropika, Johor Bahru pada 2 Mac, seramai 11 warga asing ditahan iaitu lapan wanita Thailand, dua wanita Vietnam dan seorang lelaki Vietnam.

“Pemeriksaan awal mendapati mereka tinggal lebih masa dan menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) serta Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) kategori PRA untuk bekerja sebagai pelayan di premis hiburan.

“Rampasan termasuk pasport, peralatan rakaman digital, telefon bimbit, dan wang tunai RM3,025.

“Premis berkenaan dipercayai menawarkan khidmat pelayan warga asing dengan bayaran serendah RM250 dan telah beroperasi kira-kira setahun,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dalam operasi susulan pada 3 Mac, pihak berkuasa menahan lima wanita warga asing, empat dari Vietnam dan seorang dari Indonesia serta seorang lelaki tempatan.

Sindiket tersebut dipercayai menggunakan dokumen palsu untuk mendapatkan kemudahan PLKS kategori PRA bagi individu yang tidak layak dengan caj sehingga RM6,000 seorang.

Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 termasuk Seksyen 6(3), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 56(1)(k).

Zakaria berkata, JIM akan terus mempergiatkan operasi bagi mengekang sindiket yang memperdaya sistem imigresen dan mengancam keselamatan negara.

Anda Mungkin Berminat