KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia mengambil alih penjagaan mangsa rogol bawah umur sekiranya tiada penjaga yang sesuai atau berkeupayaan.
Langkah itu bertujuan memastikan keselamatan dan kebajikan mangsa kekal terpelihara selepas terdedah kepada insiden yang membimbangkan.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, perkara itu merujuk kepada kes membabitkan seorang peniaga nasi lemak yang didakwa merogol anak perempuan teman wanitanya sendiri, yang masih bawah umur.
“Kes seumpama ini amat membimbangkan dan tidak boleh dikompromi dalam mana-mana masyarakat yang menghargai keselamatan serta maruah kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa perlindungan kanak-kanak adalah tanggungjawab bersama dan memerlukan perhatian serius oleh semua pihak.
Selain penjagaan fizikal, Nancy turut menekankan kepentingan sokongan psikososial bagi membantu proses pemulihan emosi dan mental mangsa.
“JKM bersedia mengambil alih tanggungjawab penjagaan sementara jika tiada ahli keluarga yang sesuai untuk menjaga mangsa,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menyeru orang ramai supaya tidak berdiam diri sekiranya mengetahui sebarang kes penderaan atau pengabaian kanak-kanak.
Sebarang maklumat boleh disalurkan melalui Talian Kasih 15999 atau mana-mana pejabat JKM berhampiran.
Nancy turut menegaskan komitmen kementeriannya untuk terus memperkukuh langkah-langkah pencegahan, pemulihan dan perlindungan demi kesejahteraan kanak-kanak di negara ini.