KUALA LUMPUR: Penganalisis politik, Dr Mohd Yusri Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Syam Ghaz atas pelantikannya sebagai Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) yang baharu, sambil menyifatkan jawatan itu sebagai antara posisi paling strategik dan mencabar dalam kerajaan.
Menurut beliau, pelantikan Syam Ghaz menjadikannya Ketua Pengarah JKOM keempat dalam era Kerajaan Perpaduan selepas tiga penyandang terdahulu menamatkan perkhidmatan dalam tempoh yang relatif singkat.
“Tahniah saudara Syam Ghaz. Semoga berjaya menjalankan amanah dengan baik dan berkesan,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial pada Isnin.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Ilham Centre berkata fungsi utama JKOM perlu diperjelaskan dan difahami dengan tepat supaya jabatan itu kekal fokus kepada peranannya sebagai medium komunikasi kerajaan kepada rakyat.
Menurut beliau, JKOM bertanggungjawab memastikan segala dasar, polisi, inisiatif, tindakan serta kejayaan kerajaan dapat disampaikan kepada rakyat secara berkesan, selain menangkis propaganda atau persepsi negatif yang boleh menjejaskan imej kerajaan semasa.
“Peranan JKOM bukan sekadar cantik di atas kertas atau dalam bilik mesyuarat, tetapi perlu diterjemahkan secara praktikal sehingga ke peringkat komuniti dan akar umbi,” katanya.
Tambahnya lagi, Ketua Pengarah JKOM perlu mempunyai pengalaman luas dalam politik lapangan, mahir menyusun strategi komunikasi, memahami perang persepsi serta memiliki keupayaan kepimpinan dan komunikasi yang tinggi.
Katanya, politik moden banyak dipengaruhi oleh persepsi rakyat dan kegagalan menguasai naratif boleh memberi kesan besar terhadap sokongan politik.
Beliau mengambil contoh pentadbiran Pakatan Harapan (PH) 1.0 yang menurutnya gagal mengurus persepsi awam dengan baik, khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu-Islam sehingga pelbagai tanggapan negatif berjaya mempengaruhi pandangan rakyat.

Menurutnya, Kerajaan Perpaduan hari ini juga masih berdepan cabaran sama apabila terdapat pelbagai dasar dan kejayaan kerajaan yang tidak sampai kepada rakyat secara menyeluruh.
“Hasil kajian lapangan menunjukkan ramai responden memahami sesuatu isu berdasarkan persepsi yang berbeza daripada realiti sebenar kerana maklumat yang tepat tidak sampai kepada mereka,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berpandangan JKOM perlu berfungsi sebagai barisan hadapan komunikasi kerajaan dengan pendekatan yang lebih berkesan dan menyeluruh sehingga ke peringkat komuniti.
Dr Yusri turut menegaskan bahawa individu yang menerajui JKOM perlu memberi tumpuan penuh kepada tugas dan bukan sekadar memainkan peranan bersifat kosmetik.
“Ketua Pengarah JKOM mesti bekerja, bekerja dan terus bekerja. Agenda komunikasi kerajaan perlu sampai ke peringkat paling bawah struktur sosial, selaras dengan fungsi JKOM sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti,” katanya.
Beliau bagaimanapun berharap kepimpinan baharu JKOM mampu membawa perubahan positif dan memperkukuhkan peranan jabatan itu dalam mendepani cabaran komunikasi politik semasa.
Baca juga:








