KUALA LUMPUR: Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) kini dalam proses memuktamadkan mekanisme baharu bagi menyita simpanan milik penghutang penghakiman khususnya bekas suami yang gagal melunaskan nafkah sebagai langkah memperkukuh penguatkuasaan keputusan Mahkamah Syariah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pelaksanaan itu dibuat hasil kerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) melalui Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) bagi memastikan hak bekas isteri dan anak tidak terabai.
“Perbincangan telah dijalankan dengan pihak BNM supaya simpanan penghutang penghakiman boleh disita oleh mahkamah melalui BSK.
“Perkara ini kini sedang dimuktamadkan,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.
Langkah itu katanya, dilihat sebagai usaha tegas kerajaan dalam menangani isu tunggakan nafkah yang sering membebankan golongan wanita dan anak-anak selepas perceraian.
Ia juga menandakan kesungguhan institusi kehakiman syariah dalam memastikan keadilan dan tanggungjawab keluarga terus ditegakkan.
Selain tindakan penyitaan, Mohd Na’im berkata, kerajaan turut melaksanakan skim pendahuluan nafkah melalui BSK bagi membantu mangsa yang terjejas sementara menunggu tunggakan diselesaikan.
“Bantuan sementara ini disalur melalui Kumpulan Wang Amanah Sokongan Keluarga (KWASK) bagi menjamin kebajikan penerima,” jelasnya.
Menurut beliau, pendekatan ini bukan sahaja bersifat pemulihan tetapi juga pencegahan agar penghutang penghakiman tidak terus mengelak tanggungjawab mereka.
Ia turut mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh pelaksanaan undang-undang syariah secara lebih berkesan dan berperikemanusiaan.
Langkah-langkah ini katanya, menunjukkan kesungguhan kerajaan memastikan pelaksanaan undang-undang syariah lebih tegas dan berkesan dalam melindungi kebajikan keluarga Islam.








