Johor Umum Cuti Khas, Rai Kejayaan JDT Juarai Piala Malaysia 2025/26

JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor mengumumkan 25 Mei 2026 (Isnin) sebagai Hari Cuti Peristiwa bagi seluruh rakyat negeri itu, sebagai tanda penghargaan atas kejayaan gemilang Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2025/26.

Dalam satu kenyataan rasmi, Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir, memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dengan perkenan Pemangku Sultan Johor, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail.

“Adalah dimaklumkan bahawa pada 23 Mei 2026, Yang Amat Berhormat Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, dengan perkenan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, telah memutuskan untuk mengisytiharkan bahawa 25 Mei 2026 (Isnin), sebagai Hari Cuti Peristiwa bagi seluruh rakyat Negeri Johor,” kata kenyataan itu.

Cuti khas itu diberikan sebagai tanda penghargaan kepada pasukan JDT yang berjaya merangkul kejuaraan berprestij tersebut serta kepada rakyat Johor yang sentiasa memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan kebanggaan negeri itu.

“Pemberian Cuti Khas Peristiwa ini adalah sebagai tanda penghargaan untuk meraikan kejayaan gemilang pasukan Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) yang telah merangkul kejuaraan Piala Malaysia 2025/26 serta kepada Kerajaan Negeri dan rakyat Negeri Johor yang memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan tersebut,” menurut kenyataan itu lagi.

Pengisytiharan cuti itu dibuat selaras dengan Seksyen 9, Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369).

Anda Mungkin Berminat