PETALING JAYA: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) berjaya menumpaskan sebuah sindiket pengedaran dadah aktif di Lembah Klang dan Perak dengan rampasan bernilai keseluruhan RM13.9 juta.
Pengarah JSJN, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejayaan itu hasil risikan mendalam serta tindakan pantas pasukan khas dalam operasi bersepadu yang dijalankan pada 1 Disember 2025.
“Dua siri serbuan berjaya menahan enam lelaki tempatan berusia 26 hingga 46 tahun serta merampas 273kg methamphetamine dan 101kg ketamin.
“Operasi bersepadu ini hasil risikan mendalam dan tindakan pantas pasukan JSJN, berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah bernilai RM13.9 juta dan menahan enam suspek,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, serbuan pertama dilakukan di sebuah pasar raya di Petaling Jaya, melibatkan pemeriksaan ke atas tiga kenderaan.
Manakala, serbuan kedua pula dijalankan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Simpang Pulai, di mana seorang suspek yang bertindak sebagai ‘sweeper’ berjaya ditahan.
“Rampasan ini dipercayai mampu menjejaskan sekitar 1.7 juta pengguna.
“Selain dadah, polis turut menyita tiga kenderaan bernilai RM140,000 melalui Akta Pelucutan Harta 1988, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan RM13.9 juta,” katanya lagi.
Hasil semakan rekod mendapati lima daripada suspek mempunyai sejarah jenayah, manakala empat daripadanya didapati positif dadah.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman berat terhadap pengedaran dadah.








