PETALING JAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menggagalkan cubaan sindiket dadah membawa masuk kira-kira 50 kilogram (kg) ganja melalui pesisir pantai Kuala Perlis, Ahad lalu.
Dalam kenyataan di Facebook Maritim Malaysia, Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Romli Mustafa berkata, rampasan dilakukan oleh sepasukan anggota Zon Maritim Kuala Perlis ketika rondaan rutin Operasi Aman dan Operasi TIRIS 3.0 selepas menerima maklumat mengenai objek mencurigakan terdampar di pantai.
“Hasil pemeriksaan menemui tiga guni berisi 49 ketulan daun kering mampat disyaki ganja.
“Dadah tersebut dipercayai cuba seludup masuk menerusi laluan laut sebelum diedarkan ke pasaran tempatan,” katanya.
Romli berkata, nilai rampasan dianggarkan sekitar RM150,000 bergantung kepada kualiti dan kaedah pengedaran.
Jika terlepas ke pasaran, bekalan itu mampu dipecahkan kepada puluhan ribu paket kecil untuk pengguna tempatan, sekali gus memberi kesan besar kepada keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
Beliau berkata, Maritim Malaysia akan terus mempertingkat rondaan serta pengawasan di perairan Kedah dan Perlis, selain memperkukuh kerjasama risikan bersama agensi penguat kuasa lain bagi menutup ruang pengedaran dadah.
“Orang ramai khususnya komuniti maritim diminta menyalurkan maklumat sekiranya mengesan aktiviti mencurigakan.
“Sebarang kecemasan boleh menghubungi talian 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di 04-9851072 dan 04-9851162 untuk tindakan segera,” katanya.








