KUALA LUMPUR: Sebanyak 41 kompaun dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap individu yang menjalankan perkhidmatan fotografi tanpa lesen dalam Operasi Bersepadu Lens (Ops Lens) di kawasan KLCC, malam tadi.
Menurut kenyataan DBKL, operasi itu dijalankan bagi memantau dan membanteras kegiatan jurufoto tidak berlesen yang beroperasi secara terbuka di ruang awam tanpa kebenaran sah.
Katanya, operasi turut melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP).
“Semakan turut dilakukan ke atas individu terlibat bagi mengenal pasti rekod jenayah, status pengenalan diri dan kerakyatan.
“Tiada tangkapan dibuat dalam operasi ini,” kata DBKL.
DBKL menegaskan bahawa aktiviti fotografi tanpa kelulusan bukan sahaja melanggar peraturan, malah mengancam keselamatan pengunjung khususnya di kawasan laluan pejalan kaki dan jalan raya.
“Ia bukan sahaja membahayakan jurugambar dan pelanggan tetapi juga mengganggu kelancaran pergerakan awam.
“DBKL tidak akan teragak-agak untuk menyita peralatan dan barangan sekiranya aktiviti fotografi tanpa permit ini diteruskan.
“Pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan dijalankan secara berterusan demi memastikan ruang bandar kekal selamat, teratur dan harmoni,” tambah DBKL lagi.
Orang ramai yang ingin menyalurkan aduan berkaitan boleh menggunakan saluran rasmi DBKL di https://adukl.dbkl.gov.my .