PETALING JAYA: Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) mempertingkat usaha melindungi baki kolam takungan banjir di Kuala Lumpur selepas menerima taklimat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan pemberimilikan tanah kolam tersebut kepada pemaju bagi tujuan pembangunan kediaman dan bercampur.
Dalam kenyataan media pada Selasa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, hasil siasatan SPRM mendapati tiada unsur rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa dalam proses pemberimilikan dan kelulusan pembangunan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Dalam hal ini, SPRM telah menjalankan siasatan terhadap semua proses pemberimilikan dan Perintah Pembangunan melalui semakan dokumen serta rakaman keterangan saksi-saksi terlibat termasuk daripada pihak pemaju.
“SPRM juga telah mengadakan lawatan ke tapak kawasan kolam takungan banjir tersebut dan juruukur yang dilantik telah mengesahkan tiada sebarang pencerobohan sempadan berlaku oleh pihak pemaju,” katanya.
SPRM turut mengemukakan surat kepada DBKL sebagai peringatan agar semua kelulusan pembangunan pada masa hadapan mengambil kira risiko dan fungsi kolam takungan banjir serta melalui proses penilaian yang lebih ketat.
Lebih membanggakan, JWP menerima pujian kerana menubuhkan pasukan petugas khas bagi mempercepatkan proses pewartaan kawasan hijau dan kolam takungan banjir.
Hannah Yeoh menegaskan komitmen pihaknya untuk memelihara kawasan lapang demi kesejahteraan warga kota.
“Pihak kami memberi jaminan untuk mempercepatkan proses pewartaan baki 30 peratus kawasan lapang dan kolam takungan banjir yang telah diluluskan,” katanya.
Untuk rekod, sesi konsultasi bersama SPRM ini adalah julung kali diadakan dan kerjasama strategik tersebut akan diteruskan bagi memperkukuh tadbir urus yang baik serta memastikan keselamatan rakyat sentiasa diutamakan.








