PUTRAJAYA: Rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan menyaksikan seramai 27 menteri dan timbalan menteri terlibat dalam pertukaran portfolio serta lantikan baharu bagi mengisi beberapa kekosongan dalam Jemaah Menteri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyesuaian itu perlu dilakukan bagi memastikan Kabinet dapat berfungsi sebagai satu pasukan yang mantap, di samping memberi tumpuan kepada usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi dan menangani permasalahan rakyat.
“Seperti yang sedia maklum, terdapat beberapa kekosongan dalam barisan Jemaah Menteri dan keperluan untuk membuat penyesuaian supaya Kabinet dapat bekerja secara lebih berkesan,” katanya pada Selasa.
Antara lantikan baharu, Datuk Mustafa Sakmud dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), manakala Dr Zulkifli Hasan dinaikkan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menggantikan Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Hannah Yeoh Tseow Suan pula bertukar portfolio daripada Menteri Belia dan Sukan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) bagi menggantikan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa. Sementara itu, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dilantik sebagai Menteri Ekonomi, mengisi kekosongan yang ditinggalkan Datuk Seri Rafizi Ramli.
Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilantik sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menggantikan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang tamat tempoh sebagai Senator. Datuk Seri R Ramanan pula dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia, manakala Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan.
Dalam perkembangan lain, Datuk Arthur Joseph Kurup dilantik sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam bagi menggantikan Nik Nazmi Nik Ahmad yang meletakkan jawatan sebelum ini.
Bagi jawatan timbalan menteri, Liew Chin Tong bertukar portfolio sebagai Timbalan Menteri Kewangan, manakala Adam Adli Abd Halim dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi. Lim Hui Ying pula bertukar sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Beberapa Ahli Parlimen turut dilantik sebagai timbalan menteri, termasuk Datuk Lo Su Fui di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Marhameh Rosli di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Chiew Choon Man di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta R Yuneswaran di Kementerian Perpaduan Negara.
Upacara angkat sumpah jawatan menteri dan timbalan menteri yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim akan berlangsung pada Rabu jam 10 pagi di Istana Negara, diikuti Mesyuarat Jemaah Menteri pada jam 2.30 petang.
Baca juga:








