PUTRAJAYA: Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini meluluskan syor Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) supaya dilaksanakan pindaan ke atas Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) (Pindaan) 2021 yang sebelum ini telah diluluskan oleh pentadbiran Kerajaan lalu.
PPKB (Pindaan) 2021 tersebut telah menetapkan sekatan had kepada peniaga bagi pemilikan dan penggunaan Gas Petroleum Cecair (LPG) melebihi 42 kilogram pada satu-satu masa yang memerlukan kepada Permit Barang Kawalan Berjadual (PBKB).
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata antara teras kepada pindaan yang akan dibuat mengambil kira keperluan peniaga jualan makanan dan minuman berskala mikro dan kecil secara bersasar.
“…. kedua mewujudkan kejelasan undang-undang (clarity of law) untuk memastikan keberkesanan pematuhan dan penguatkuasaan,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.
Selain itu, Jemaah Menteri juga bersetuju dengan syor agar semakan dan pindaan kepada PPKB (Pindaan) 2021 ini diselaraskan oleh Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha (KSU) KPDN dan turut melibatkan kementerian dan agensi berkaitan selain mendapatkan syor dan pandangan daripada pelbagai pemegang taruh.
“Mesyuarat Jemaah Menteri juga memperakukan supaya sepanjang tempoh OPS GASAK dan sehingga pindaan kepada PPKB (Pindaan) 2021 dimuktamadkan iaitu tidak ada tindakan undang-undang diambil terhadap perniagaan jualan dan makanan berskala mikro dan kecil berkaitan penggunaan silinder LPG bersubsidi bagi keperluan premis perniagaan sendiri.
“Para peniaga mikro dan kecil makanan dan minuman dibenarkan untuk mendapatkan bekalan tong LPG bersubsidi tanpa keperluan permit barang kawalan berjadual.
“Pada masa yang sama, gerak kerja membanteras ketirisan yang melibatkan aktiviti haram decanting dan penggunaan oleh industri melalui OPS GASAK akan diteruskan,” katanya lagi.
Terdahulu, Timbalan Menteri KPDN, Dr Fuziah Salleh menyatakan terdapat kekeliruan dalam kalangan orang ramai mengenai keperluan beralih kepada tong gas tanpa subsidi berwarna ungu (tong “purple”).
Menurutnya, peniaga kecil seperti Makcik Kiah masih layak menggunakan tong gas masak berwarna hijau bersubsidi selagi memenuhi syarat yang ditetapkan.
Fuziah turut menasihatkan agar orang ramai tidak menimbulkan kekeliruan dengan menyebarkan maklumat yang tidak sahih, kerana langkah kerajaan adalah untuk memastikan subsidi terus dinikmati oleh golongan kecil dan sederhana yang benar-benar memerlukan.
Baca juga: