Kakitangan syarikat swasta rugi RM350,000 angkara ‘phone scam’

Seorang kakitangan syarikat swasta mengalami kerugian lebih RM350,000 selepas diperdaya sindiket ‘phone scam’ yang mendakwa kononnya dia terlibat dalam kes pengubahan wang haram.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, mangsa lelaki warga tempatan berusia 62 tahun telah menerima panggilan telefon daripada suspek yang mendakwa dirinya sebagai pegawai polis lalu memaklumkan bahawa mangsa telah terlibat dalam kes pengubahan wang haram.

“Mangsa diminta membuat bayaran untuk menyelesaikan kes tersebut serta dikehendaki melaporkan semua pergerakan mangsa setiap hari kepada suspek.

“Selain dari itu mangsa turut diarahkan untuk memberikan maklumat semua akaun bank,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Mohd Sohaimi, mangsa telah membuat beberapa kali bayaran ke beberapa akaun seperti mana diarahkan suspek pada bulan Januari hingga Jun 2023.

Tambah beliau, mangsa turut memberikan maklumat akaun bank kepada suspek serta melaporkan segala aktiviti harian tanpa mengesyaki apa-apa.

“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu pada awal bulan Mei 2024 setelah mendapati wang berjumlah RM305,021 di dalam akaun dipindahkan tanpa pengetahuan mangsa.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Tipu) dan Seksyen 4 (1) Akta Jenayah Komputer 1997 (Capaian Tanpa Kuasa dengan Niat untuk Melakukan atau Memudahkan Berlakunya Kesalahan Lanjut),” katanya.

Justeru, pihak polis menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak mudah mempercayai panggilan telefon yang mendakwa sebagai kakitangan mana-mana agensi atau pihak berkuasa.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat