“Kalau Ada Pentas dan Trak Makanan, Itu Karnival, Bukan Demonstrasi” – Aiman Athirah

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu menegaskan bahawa penganjuran Himpunan Turun Anwar tidak sepatutnya melibatkan pembukaan pentas, penggunaan sistem audio, trak makanan atau gerai jualan.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata kehadiran elemen seperti pentas hiburan menjadikan himpunan itu lebih menyerupai sebuah karnival, bukannya demonstrasi aman.

“Nak buat karnival, kena mohon permit daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), sebagaimana yang perlu dipatuhi oleh pihak lain,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Aiman yang juga Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) turut menempelak penganjur kerana menyalahkan polis dan Perdana Menteri atas tindakan penguatkuasaan yang dikenakan.

“Dah pernah jadi kerajaan, takkan itu pun tak faham? Lepas tu sebar maklumat palsu konon himpunan diganggu dan dihalang. Ini bukan sikap yang baik,” katanya lagi.

Aiman turut menyindir, jika Perikatan Nasional mahu menganjurkan “Karnival PN”, maka mereka sepatutnya memohon permit yang betul.

Terdahulu, tular dakwaan bahawa pihak berkuasa telah menyita pentas yang didirikan di Dataran Merdeka bagi tujuan himpunan berkenaan.

Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi, Lajnah Penerangan PAS Pusat, Nurul Islam Mohamed Yusoff mendakwa tindakan itu bercanggah kerana pentas berkenaan sudah mendapat persetujuan polis, dan menyifatkan penyitaan tersebut sebagai provokasi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat