Kalau ada yang retak, kita satukan – Nurul Izzah

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menegaskan bahawa kemenangan dalam pemilihan parti bukanlah masa untuk bersenang-lenang, sebaliknya menandakan permulaan kepada usaha lebih keras memperkukuh parti dari akar umbi hingga ke pusat.

Dalam kenyataan hari ini, beliau menyifatkan setiap undi yang diperolehnya sebagai satu amanah besar yang menuntut komitmen, kerja nyata serta kesediaan untuk kembali ke lapangan rakyat.

“Kemenangan bukanlah waktu untuk bersorak atau bersenang-lenang. Ia adalah waktu untuk bekerja dengan lebih keras dan lipat gandakan usaha – untuk turun padang, mendengar, menyingsing lengan dan kembali ke medan tempur lawan sebenar,” katanya.

Nurul Izzah turut menekankan pentingnya mengukuhkan struktur dalaman parti agar Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dapat menumpukan perhatian kepada tadbir urus negara di tengah-tengah cabaran geopolitik dan ekonomi global.

“Peranan Timbalan Presiden kini lebih kritikal untuk memperkukuh parti, memastikan urus tadbir dalaman kukuh agar Presiden dapat fokus kepada pentadbiran negara,” katanya lagi.

Sebagai langkah awal, beliau mencadangkan pelaksanaan program universal merangkumi semua cabang parti bagi memperkasa jentera akar umbi – termasuk peningkatan sokongan rakyat dan strategi mendekati komuniti setempat secara lebih berkesan.

Nurul Izzah turut menyeru penyatuan dalam parti, agar segala perbezaan disatukan demi kelangsungan reformasi yang diperjuangkan.

“Kalau ada yang retak, kita satukan. Kalau ada yang renggang, kita dekatkan. Bersama, kita mampu membawa reformasi sebenar dari hati, untuk rakyat.”

Kenyataan itu disampaikan beberapa hari selepas pemilihan kepimpinan PKR yang menyaksikan Nurul Izzah kembali memegang jawatan penting dalam barisan utama parti.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat