Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Seluruh anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu memberi kepercayaan penuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden dalam mengemudi parti.
Menerusi kenyataan di laman rasmi Facebook Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, PKR ibarat sebuah kapal dan mempunyai seorang kapten yang memimpin haluan iaitu Anwar Ibrahim.
Manakala, seluruh ahli dan akar umbi parti mempunyai tugasan dan tanggungjawab.
“Saya ibaratkan KEADILAN seperti sebuah kapal. Sudah tentu ada kapten yang memimpin haluan iaitu YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kita pula anak-anak kapal. Masing-masing ada tugas, ada tanggungjawab,” katanya.

Justeru katanya, apabila seluruh parti membuat kerja dengan betul dan meletakkan kepercayaan kepada Anwar Ibrahim maka seluruh parti akan bergerak lancar menuju ke destinasi.
“Bila setiap orang buat kerja dengan betul dan letakkan kepercayaan pada kapten, insyaAllah kapal akan bergerak lancar dan sampai ke destinasi.
“Tapi kalau duduk dalam kapal, pada masa yang sama ada yang cuba tebuk lantai, bayangkan sendiri apa jadi. Kapal takkan ke mana, malah semua boleh tenggelam,” katanya.
Sehubungan itu katanya, setiap peranan dan usaha mempunyai makna dan kesannya yang tersendiri.
Maka beliau menggesa seluruh ahli PKR untuk kekal fokus, menjaga amanah dan melaksanaa tugasan masing-masing kerana perjuangan partinya itu perlu terus kuat hingga sampai ke tujuan.
Baca juga:








