Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun, warganegara Thailand ditemukan lemas di Sungai Golok, Kampung Ibrahim Pencen pada pukul 10.38 malam Isnin.
Komander Operasi Kanan, Pegawai Kanan Penguasa Bomba Kanan, Suki Anuar berkata, pihaknya menerima maklumat daripada panggilan kecemasan terdapat kejadian kanak-kanak warganegara terbabit yang hilang di Sungai Golok pada jam 6.12 petang.
Menurut beliau, setibanya di tempat kejadian, pihak bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat melalui permukaan air.
“Lokasi kejadian kanak-kanak ini lemas adalah di Sungai Golok yang bersempadan dengan Malaysia-Thailand.
“Pasukan penyelam Thailand turut hadir di lokasi pada pukul 6.45 petang dan melakukan selaman dalam operasi sama sebelum mangsa berjaya ditemukan pada waktu malam,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat itu disertai 20 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang serta Pasukan Penyelamatan di Air Pengkalan Kubor selain enam polis dari Pasukan Gerakan Am.
“Sejumlah lima anggota polis Thailand dan tujuh anggota penyelam mereka turut terlibat dan operasi juga dibantu oleh penduduk kampung di sekitar kawasan sempadan,” katanya.
Difahamkan, mangsa ditemui di sebelah sempadan Thailand oleh pihak penyelam negara itu dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan manakala mayatnya juga diserahkan kepada pihak polis negara tersebut.
Baca juga: