PELABUHAN KLANG: Sebuah kapal kontena yang berdaftar di Liberia telah ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor selepas didapati berlabuh tanpa kebenaran di perairan negara.
Penahanan dibuat pada 16 Mei lalu sekitar pukul 1.20 petang, kira-kira 22.5 batu nautika barat daya Sekinchan, selepas menerima maklumat awal daripada Area Control Centre (ACC) SWASLA Klang yang mengesan kedudukan kapal yang mencurigakan sejak pukul 9.20 pagi.
Menurut Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh, semakan dengan Jabatan Laut Wilayah Tengah (JLWT) mendapati kapal tersebut tidak memohon kebenaran untuk bersauh.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, kepten kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dan kapal tersebut telah melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO 1952) kerana berlabuh tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia,” jelas beliau.
Tambahnya, bot ronda maritim telah digerakkan ke lokasi, di mana pemeriksaan awal mendapati kapal itu dikendalikan oleh seorang kepten berusia 44 tahun warga Rusia bersama 23 kru dari pelbagai negara, berusia antara 32 hingga 50 tahun.
Muhaimin berkata, kesemua kru memiliki dokumen pengenalan diri yang lengkap.
Susulan kesalahan tersebut, beliau berkata, perintah penahanan telah dikeluarkan terhadap kapal berkenaan, manakala kepten kapal serta seorang pegawai 2nd Engineer dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut.
“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali,” kata Muhaimin.
Maritim Malaysia berkata, pihaknya akan terus memperketat pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang di perairan negara khususnya sekitar Selangor.
Sebarang aduan, maklumat atau insiden kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor (013-6606652) / Pusat Operasi Maritim Malaysia (03-89957820) untuk tindakan segera.