SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (LTAKL) berjaya mematahkan dua cubaan penyeludupan berasingan melibatkan bunga ganja dan rokok putih tidak berkastam dalam operasi sepanjang April dan Mei lalu.
Menurut Pengarah Kastam LTAKL, Zulkifli Muhammad, pihaknya merampas kira-kira 56.8 kilogram bunga ganja bernilai RM5.56 juta, serta 1.54 juta batang rokok putih pelbagai jenama dengan nilai rampasan RM154,000, melibatkan cukai dan duti dianggarkan RM1.03 juta.
Dalam kes pertama, pasukan Bahagian Penguatkuasaan JKDM berjaya menahan 19 bungkusan di terminal kargo udara Zon Perdagangan Bebas KLIA. Pemeriksaan mendapati bungkusan tersebut mengandungi bahan disyaki bunga ganja yang dibungkus dalam plastik kedap udara dan dimasukkan ke dalam kotak sebelum dihantar melalui perkhidmatan kurier udara.
“Dadah ini dipercayai cuba diseludup masuk ke negara ini untuk diedarkan atau dihantar ke negara lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagi kes kedua, Zulkifli berkata, hasil maklumat dalaman dan arahan Ketua Bahagian Penguatkuasaan KLIA, pihaknya menahan dua lori bonded di Klang, Selangor pada 9 Mei lalu, yang disyaki membawa rokok tidak berkastam.
“Hasil pemeriksaan menemukan 1.54 juta batang rokok pelbagai jenama dengan anggaran nilai RM154,000. Rokok ini dipercayai diedar menggunakan lori berkenaan pada waktu malam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” jelasnya.
Kedua-dua kes kini disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.
Baca juga: