KDA FC Nafi Keluar Liga Malaysia, Akan Terus Berjuang

ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menegaskan bahawa kelab itu tidak pernah membuat keputusan untuk menarik diri daripada Liga Malaysia musim hadapan.

Menurut Pengerusi KDA FC, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, pihak pengurusan sentiasa berkomunikasi dengan pengendali liga bagi memenuhi syarat perlesenan kelab yang ditetapkan oleh Malaysian Football League (MFL).

Beliau menegaskan bahawa pasukan Hijau Kuning itu tidak pernah menghantar sebarang surat atau memberi gambaran bahawa mereka ingin meninggalkan liga.

“Kami sentiasa berkomunikasi dengan pihak pengendali liga bagi memenuhi syarat dalam tempoh ditetapkan. Tidak pernah terlintas di hati kami untuk membubarkan pasukan atau keluar daripada liga

“Kami akan terus berusaha untuk kekal dalam Liga Super musim hadapan. Tidak ada yang sia-sia apabila kita berusaha dan berjuang,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau turut berharap agar penyokong kekal memberikan sokongan dan mendoakan kejayaan pasukan itu dalam menghadapi cabaran mendatang.

Kedah kini menduduki tangga ke-11 Liga Super dan terpalit dengan isu luar padang melibatkan kelewatan gaji sehingga menjejaskan perjalanan pasukan musim ini.

Semalam, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, dalam sesi soal jawab bersama penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) di Facebook mendedahkan bahawa Sri Pahang dan KDA FC berkemungkinan besar tidak akan beraksi dalam Liga Super musim depan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat