Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) melakar kejayaan besar apabila berjaya merekodkan rampasan mingguan bernilai RM1,057,689.50 bagi tempoh 25 hingga 31 Mei 2026, menjadikannya antara pencapaian penguatkuasaan terbesar tahun ini.
Dalam satu hantaran di Facebook KDN pada Selasa, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dikatakan berkata, kejayaan itu adalah hasil operasi bersepadu yang digerakkan di seluruh negara.
“Kementerian akan terus memperkukuh operasi penguatkuasaan bagi membanteras ketirisan subsidi, menumpaskan aktiviti penyeludupan, dan memastikan kepentingan rakyat sentiasa terpelihara,” katanya.
Rampasan tersebut melibatkan komoditi strategik seperti diesel, petrol, LPG dan minyak masak bersubsidi.
Sejak operasi berterusan dilaksanakan, KDN merekodkan 911 tangkapan dan 319 kes penguatkuasaan, dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM47.99 juta.
Kerjasama erat antara PDRM dan KPDN turut menyumbang kepada pencapaian ini dengan 243 kes penguatkuasaan direkodkan iaitu tertinggi di seluruh negara membabitkan ketirisan diesel dan petrol, penyalahgunaan LPG, penyelewengan minyak masak bersubsidi serta pelbagai aktiviti penyeludupan lain.
Lebih penting, kejayaan itu bukan sekadar angka tetapi mencerminkan usaha KDN dalam membanteras ketirisan subsidi, menyekat penyeludupan rentas sempadan, melindungi bekalan strategik negara, memperkukuh keselamatan ekonomi serta menjamin kesejahteraan rakyat.
Saifuddin menegaskan bahawa pendekatan ‘smart enforcement’ berasaskan risikan dan teknologi akan terus diperhebatkan bagi memastikan setiap cubaan menyeleweng subsidi dapat dikesan serta ditangani dengan tegas.







