Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Prosiding inkues berkait kes Zara Qairina Mahathir merupakan langkah yang tepat oleh kerajaan bagi memastikan kebenaran terdedah menerusi teras undang-undang yang telus dan tidak dipengaruhi emosi.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, Malaysia bukan lagi hidup di tampuk pemerintahan era ‘Raja Bersiong’ yang mana hukuman dijatuhkan secara membuta tuli bagi memuaskan hati semua orang.
Sebalik itu katanya, keadilan mesti ditegakkan berdasarkan fakta, bukti dan proses perundangan dan dengan cara itu keyakinan rakyat terhadap sistem keselamatan dan kehakiman dapat dipulihkan.
“Saya juga mengambil maklum kenyataan bahawa Peguam Negara akan mendakwa 5 remaja bawah 18 tahun di Mahkamah Kanak-Kanak hari ini berhubung kes ini.
“Tindakan ini membuktikan bahawa tidak ada sesiapa pun yang terkecuali daripada undang-undang, walaupun mereka masih berstatus remaja.
“Dalam masa sama, perbicaraan di mahkamah khas kanak-kanak akan tetap mengambil kira prinsip keadilan dan pemulihan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Dalam pada itu katanya, kes Zara menjadi episod kemuncak kepada budaya membuli di negara ini yang semakin berakar.
“Kes demi kes berlaku setiap tahun, dari sekolah rendah hingga ke institusi pengajian tinggi.
“Soalnya, mengapa anak-anak kita sanggup mencederakan rakan sendiri, Inilah persoalan yang wajib dijawab oleh sistem pendidikan, keluarga, dan masyarakat,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kepada kerajaan untuk mengaktifkan beberapa langkah berikut iaitu, memperluaskan program pencegahan buli bermula di sekolah rendah, mewujudkan talian kecemasan anti-buli yang berkesan dengan tindakan susulan yang jelas.
“Membentuk task force bersama PDRM dan KPM agar isu buli ditangani secara menyeluruh.
“Mengadakan kempen nasional anti-buli yang melibatkan keluarga, komuniti dan media,” ujarnya.
Baca juga: