Keanggotaan baharu Timor-Leste perkuatkan lagi tonggak kesatuan ASEAN – Anwar

Oleh: Tyah Helmi

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan bahawa kemasukan rasmi Timor-Leste sebagai negara anggota ke-11 ASEAN bakal memperkukuhkan lagi kesatuan, perpaduan dan kekeluargaan dalam komuniti serantau itu.

Berucap pada Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur, Anwar berkata Timor Leste bukan sekadar simbol perluasan organisasi serantau itu malah lambang kepada semangat keterangkuman dan solidariti yang menjadi asas pembentukan ASEAN sejak lebih lima dekad lalu.

“Penerimaan rasmi Timor-Leste ke dalam keluarga ASEAN hari ini memberi makna baharu kepada visi Komuniti ASEAN 2045. Ia memperkukuh nilai kebersamaan, perpaduan dan keinginan kita untuk memastikan keamanan serta kesejahteraan rantau ini terus terpelihara,” katanya.

Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada Presiden Timor-Leste, José Ramos-Horta dan Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmão atas penyertaan rasmi negara itu ke dalam blok serantau berkenaan.

Jelas Anwar, ASEAN komited untuk memastikan pembangunan dan kemajuan strategik Timor-Leste mendapat sokongan penuh daripada semua negara anggota, selaras dengan semangat komuniti serantau yang inklusif dan saling memperkukuh.

“Dalam komuniti ini, kemajuan dan kesejahteraan strategik Timor-Leste akan disokong secara tuntas dan berterusan.

Keanggotaan baharu ini menambah kekuatan kepada matlamat ASEAN untuk menjadi rantau yang makmur, adil dan mampan,” ujar beliau.

Tegas beliau juga, kekuatan ASEAN tidak pernah terletak pada perbezaan antara negara anggotanya, tetapi pada keupayaan untuk menghormati, memahami dan menggabungkan kepelbagaian tersebut sebagai sumber kekuatan bersama.

“ASEAN berdiri teguh bukan kerana keseragaman, tetapi kerana keyakinan bahawa hormat dan rasional masih mampu menyatukan kita dalam menghadapi cabaran global,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Visi Komuniti ASEAN 2045, menuntut semua negara anggota memperkukuh perpaduan, memperluas kerjasama ekonomi, serta memastikan kemakmuran dan keadilan dinikmati secara saksama oleh semua rakyat di rantau ini.

Menyentuh mengenai kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun ini, beliau menyatakan fokus utama sidang kemuncak pada tahun ini adalah untuk memperkukuh keselamatan serantau, menangani isu Myanmar secara berhati-hati dan berprinsip, serta memacu inisiatif tenaga bersih melalui pembangunan ‘ASEAN Power Grid’ dan pelaksanaan semula Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang dipinda.

“Langkah ini bukan sahaja menggalakkan integrasi ekonomi serantau, tetapi juga menegaskan komitmen ASEAN untuk beralih ke arah masa depan yang lebih hijau, adil dan berdaya tahan,” jelas beliau.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), menandakan pembukaan rasmi siri mesyuarat peringkat tertinggi di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

Majlis perasmian dimulakan dengan nyanyian Lagu ASEAN diikuti ucapan perasmian oleh Anwar selaku Pengerusi ASEAN 2025, disertai para pemimpin, menteri dan delegasi dari negara anggota ASEAN.

Lebih 30 ketua negara dan kerajaan termasuk dari Amerika Syarikat, China, Jepun, Korea Selatan dan Kanada dijadual menyertai perbincangan mengenai keamanan, daya tahan ekonomi serta pertumbuhan inklusif serantau berteraskan tema “Keterangkuman dan Kemampanan.”

Antara pemimpin ASEAN yang hadir ialah Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah; Perdana Menteri Kemboja Hun Manet; Presiden Indonesia Prabowo Subianto; Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone; Presiden Filipina Ferdinand R. Marcos Jr; Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh.

Turut hadir sebagai tetamu kehormat ialah Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Perdana Menteri China Li Qiang, Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva, serta Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa yang berada di ibu negara sejak 24 Oktober bagi menyertai sidang sebagai rakan dialog sektor baharu ASEAN.

Pemimpin lain yang dijadual menyertai sidang ialah Timbalan Perdana Menteri China He Lifeng, Presiden Majlis Eropah Antonio Costa, Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi, dan Perdana Menteri Kanada Mark Carney, manakala Perdana Menteri India Narendra Modi akan menyertai secara dalam talian.

Turut menghadiri majlis ialah Menteri Luar Finland Elina Valtonen, Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn, Menteri Luar dan Kerjasama Timor-Leste Bendito dos Santos Freitas, serta Menteri Luar Indonesia Sugiono dan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan Indonesia Djamari Chaniago.

Kehadiran Presiden Timor-Leste José Ramos-Horta dan Perdana Menteri Kay Rala Xanana Gusmão pada sidang kemuncak kali ini menandakan penyertaan bersejarah negara itu sebagai anggota ASEAN ke-11, sekali gus memperkukuh perpaduan dan keluasan komuniti ASEAN.

Majlis perasmian turut menampilkan ASEAN Prize Award bagi mengiktiraf sumbangan cemerlang kepada kemajuan Komuniti ASEAN, diikuti pemeteraian Deklarasi Kemasukan Timor-Leste sebagai anggota rasmi blok serantau itu.

Hadir sama dalam sidang tersebut ialah Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) Gianni Infantino, Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Kristalina Georgieva, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres, dan Naib Presiden Bank Dunia bagi Asia Timur dan Pasifik Carlos Felipe Jaramillo.

Selepas majlis perasmian, para pemimpin menyaksikan penyerahan Protokol Kedua bagi Pindaan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA), sebelum meneruskan sesi Sidang Kemuncak ASEAN+3 (APT), Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) serta libat urus ASEAN+1 bersama rakan strategik utama termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 akan berakhir pada 28 Oktober dengan majlis penutup dan penyerahan kepengerusian ASEAN kepada Filipina, menandakan kemuncak tahun bersejarah buat Malaysia dalam memperkukuh kerjasama, perpaduan dan kemampanan blok Asia Tenggara itu.

Beberapa mesyuarat persediaan termasuk Jawatankuasa Wakil Tetap (CPR) ke ASEAN, Majlis Penyelarasan ASEAN (ACC) dan Mesyuarat Bersama Menteri-Menteri Luar dan Ekonomi ASEAN telah diadakan dari 23 hingga 25 Oktober bagi melancarkan perjalanan sidang kemuncak tahun ini.

Anda Mungkin Berminat