Kebakaran hutan di Israel mungkin kerana khianat

TEL AVIV: Sebanyak 160 pasukan bomba dan 12 pesawat dikerahkan bagi memadam kebakaran hutan seluas 1,174 hektar di sekitar Israel.

Kebakaran yang berlaku sejak Rabu itu menyebabkan lebih ramai penduduk terpaksa berpindah dari kediaman masing-masing.

Penduduk di 10 kawasan termasuk Neve Ilan, Shoresh, dan Nataf dan Yad Hashmona serta Eshtaol dan Mishmar Ayalon dipindahkan.

Komander Perkhidmatan Bomba dan Penyelamatan Tel Aviv, Shmulik Friedman mengesahkan, kebakaran merebak ke lima lokasi utama di sekitar Tel Aviv termasuk Latrun, Neve Shalom dan Hutan Eshtaol.

Katanya, punca kebakaran masih belum dapat dipastikan, namun terdapat dakwaan sebahagian daripada kebakaran itu kemungkinan disebabkan tindakan khianat.

“Ini mungkin kebakaran terbesar yang pernah berlaku di negara ini.

“Api masih belum dapat dikawal dan keadaan mungkin bertambah buruk kerana angin kuat dijangka bertiup pada kelajuan 90 hingga 100 kilometer sejam (km/j),” katanya.

Sementara itu, pasukan keselamatan Israel termasuk pasukan udara dikerahkan untuk membantu usaha memadam kebakaran.

Dua pesawat Super Hercules C-130 dari Tentera Udara Israel dilaporkan menurunkan lebih 25 muatan bahan pemadam api ke kawasan kebakaran.

Di samping usaha tempatan, Israel juga meminta bantuan antarabangsa.

Negara seperti Itali, Croatia dan Sepanyol mengirimkan pesawat pemadam kebakaran untuk membantu usaha memadamkan api. Mesir dan beberapa negara lain turut menawarkan bantuan termasuk helikopter.

Terdahulu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu memberi amaran bahawa kebakaran hutan yang merebak dengan pantas berhampiran Baitulmaqdis boleh sampai ke bandar itu, ketika beliau mengisytiharkan keadaan itu sebagai “darurat negara.”

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat