KUALA LUMPUR: Kedutaan China sekali lagi menzahirkan komitmen kemanusiaan dengan menyumbang RM100,000 kepada Tabung Musa’adah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), menjadikan jumlah keseluruhan bantuan yang disalurkan sejak 2020 mencecah RM800,000.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, sumbangan berterusan itu membuktikan bahawa semangat kemanusiaan tidak mengenal sempadan.
“Sejak 2020, Kedutaan China telah bersama-sama kita membantu kelompok asnaf, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU), gelandangan dan keluarga B40.
“Hari ini, mereka sekali lagi menyampaikan sumbangan RM100,000 kepada Tabung Musa’adah JAWI,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Mohd Na’im berkata, setiap ringgit sumbangan membawa makna besar kepada penerima, lebih daripada sekadar angka di atas kertas.
“Ia adalah beras di dapur ibu tunggal, susu anak kecil di rumah, sedikit nafas buat mereka yang diuji banjir dan harapan yang kembali bernyawa,” ujarnya.
Beliau turut menerima kunjungan hormat Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing, di Kuala Lumpur, yang disifatkan sebagai simbol persahabatan erat antara kedua-dua negara.
Menurut Mohd Na’im, kepedulian yang dizahirkan melalui sumbangan ini mencerminkan hubungan diplomatik yang bukan sahaja berteraskan ekonomi dan politik tetapi juga nilai kemanusiaan yang menyentuh kehidupan golongan memerlukan.








