Malaysia-Poland Tegas Komitmen Perkasa Kerjasama Perdagangan, Ekonomi

PUTRAJAYA: Pertemuan antara Malaysia dan Poland hari ini memperkukuhkan hubungan diplomatik kedua-dua negara dengan menegaskan komitmen bersama dalam memperdalam kerjasama dua hala.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Poland, Andrzej Duda, dalam mesyuarat dua hala di Putrajaya membincangkan peranan penting negara masing-masing di rantau mereka serta cabaran global yang memerlukan kerjasama erat.

“Kami bersetuju untuk memperdalam kerjasama dalam pelbagai bidang atas semangat saling menguntungkan dengan matlamat menetapkan nada positif untuk kerjasama masa depan dan meletakkan asas bagi perkongsian yang lebih kukuh,” menurut kenyataan bersama.

Kedua-dua pemimpin berkata, Malaysia dan Poland menekankan kepentingan perdagangan terbuka dan inklusif serta sistem perdagangan berasaskan peraturan.

Di mana, kedua-dua negara menyokong kemajuan segera rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA) bagi mempercepatkan pemuktamadan perjanjian.

Dalam sektor agro-makanan, Presiden Duda menyerahkan kepada Anwar dokumen tidak rasmi berkenaan cadangan Poland mengenai penghapusan halangan perdagangan bagi produk agro-makanan.

Selain itu, kedua-dua pemimpin bersetuju memperkasa kerjasama dalam transformasi ekonomi dan digital termasuk digitalisasi perkhidmatan awam, peralihan hijau (ekonomi hidrogen dan tenaga boleh diperbaharui) serta pembangunan infrastruktur dan ekonomi maritim.

Selain itu, Malaysia dan Poland komited untuk memperkukuhkan keselamatan dan pertahanan menerusi kerjasama yang memberi manfaat bersama.

Mereka menekankan kepentingan memerangi jenayah terancang dan rentas sempadan termasuk pemerdagangan manusia dan imigresen haram.

“Para pemimpin menyatakan komitmen bersama untuk meneruskan rundingan perjanjian dua hala mengenai bantuan bersama dalam perkara jenayah sehingga ia dimuktamadkan,” kata kenyataan tersebut.

Selain aspek politik dan ekonomi, kedua-dua negara mahu memperluaskan pertukaran dalam pendidikan, sains, latihan vokasional, budaya, pemeliharaan warisan dan pelancongan.

Kedua-dua negara turut menegaskan usaha bersama mempertahankan sistem antarabangsa yang terbuka dan bebas berlandaskan kedaulatan undang-undang, Piagam PBB dan hak asasi manusia.

Mereka juga menyuarakan kebimbangan terhadap krisis kemanusiaan di Gaza serta menekankan keperluan kolektif untuk menamatkan keganasan dan memulihkan keamanan serta kestabilan di rantau tersebut.

Anda Mungkin Berminat