Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Seminggu berlalu selepas Muktamar PAS ke-71, parti itu masih gagal menamakan calon Perdana Menteri (PM) daripada partinya sendiri kata Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil.
Menerusi kenyataan media pada Selasa, Faiz menyifatkan jelas terpampang bahawa parti itu sedang mengalami krisis yang amat mendalam.
“Lihat sahaja ucapan-ucapan perwakilan dan pimpinan utama PAS yang dilihat keras dalam menentang pencalonan Muhyiddin.
“Ini tidak lain menunjukkan bahawa perpecahan yang ketara sedang berlaku dalam PN,” katanya.
Faiz turut tampil mempersoalkan dengan perpecahan yang berlaku, bagaimana Perikatan Nasional (PN) bermimpi memimpin negara ini.
“Tanpa perpaduan yang kukuh dalam mana-mana koalisi, kestabilan politik tidak dapat diwujudkan dan ini melunturkan sokongan rakyat kepada PN untuk menjadi kerajaan,” ujarnya.
Ini kerana katanya, Malaysia memerlukan kerajaan yang stabil.
Secara tidak langsung ujarnya, PN sudah membuktikan melalui episod Langkah Sheraton bahawa mereka tidak mampu menjamin kestabilan.
“Hari ini, PAS pula tidak mempunyai calon yang boleh dipersetujui,” tambahnya.
Faiz turut menegaskan, situasi itu berbeza dengan Kerajaan Madani yang konsisten menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, kestabilan politik yang dipertahankan sepanjang tiga tahun pentadbiran Kerajaan Madani telah membuahkan hasil dari segi ekonomi.
“Antara pencapaian yang direkodkan termasuk pengukuhan ringgit lebih enam peratus berbanding dolar Amerika, pertumbuhan KDNK 4.4 peratus bagi separuh pertama 2025, serta pelaburan diluluskan mencecah RM190.3 bilion yang dijangka mewujudkan hampir 90,000 pekerjaan baharu,” ujarnya.
Beliau turut memberitahu bahawa di bawah tatakelola Kerajaan Madani kadar inflasi negara kekal rendah pada purata 1.4 peratus, manakala kadar pengangguran turun kepada tiga peratus pada suku kedua tahun ini.
“Institusi Perdana Menteri adalah tunjang pembentukan kerajaan.
“Menurut Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong perlu terlebih dahulu melantik seorang PM sebelum Jemaah Menteri dibentuk,” katanya.
Sehubungan itu, PAS seharusnya lebih serius dan bertanggungjawab berkait hal pencalonan dan bukannya mengeluarkan kenyataan jelik mengenai tiga hingga ke empat calon Perdana Menteri.
Baca juga: