JOHOR BAHRU: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini menghadiri perjumpaan bersama keluarga besar PKR Negeri Johor, di mana beliau menegaskan bahawa kekuatan dalaman merupakan teras kepada keutuhan parti.
Dalam ucapannya, Anwar menekankan bahawa parti perlu berpegang pada kebersamaan yang tulus, disiplin yang utuh serta semangat kerja berpasukan yang tidak berbelah bahagi.
“Kekuatan dalaman merupakan teras kepada keutuhan parti dan ia menuntut kebersamaan yang tulus, disiplin yang utuh serta semangat kerja berpasukan yang tidak berbelah bahagi,” katanya.
Beliau turut mengingatkan agar parti berdiri teguh dengan mengikat akar keanggotaan melalui kefahaman dan iltizam perjuangan yang jelas serta tidak terjerumus dalam budaya mendoakan kelemahan atau kejatuhan pihak lain.
Menyentuh soal kestabilan politik, Anwar berkata, ia adalah prasyarat penting untuk merencana kepimpinan negara yang berwibawa, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi, memperkukuh keyakinan pelabur dan memastikan hasil pembangunan dapat dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
“Kestabilan politik pula merupakan prasyarat penting untuk merencana kepimpinan negara yang berwibawa dan mampu memacu pertumbuhan ekonomi, memperkukuh keyakinan pelabur dan memastikan hasil pembangunan dapat dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang,” katanya.
Sebelum beredar, Anwar menyeru seluruh pimpinan termasuk PKR Johor agar terus mendampingi rakyat dan teguh memperjuangkan agenda reformasi demi masa depan yang lebih adil dan sejahtera.








