Kemusnahan di Gaza dianggar RM447 bilion, Turkiye tuntut Israel bayar pampasan

PETALING JAYA: Turkiye menuntut negara haram Israel untuk membayar segala pampasan atas kerosakan dan kemusnahan di Gaza.

Tegas Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, anggaran kerosakan dan kemusnahan kesan perang lebih 15 bulan di Gaza berjumlah AS$100 billion (RM447 billion).

“Setiap kerosakan yang tidak dibayar akan menjadikan pelakunya lebih ganas.

“Selepas menyebabkan banyak kemusnahan, penderitaan yang besar, kekejaman yang besar ini, Israel tidak boleh dibiarkan meneruskan perjalanannya seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

“Oleh itu, daripada mencari tempat untuk penduduk Gaza yang tidak dapat dicabutnya dari tanah mereka, walaupun 15 bulan pembunuhan beramai-ramai, Netanyahu harus mencari sumber untuk menampung AS$100 bilion kerosakan yang dilakukannya di Gaza,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan umum di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya pada Isnin.

Dalam pada itu, Erdogan yakin bahawa usaha membangunkan semula Gaza dapat dijayakan dalam julat waktu singkat.

Beliau mengimbas semula pengalaman memulihkan wilayahnya dari kerosakan dan kemusnahan akibat gempa bumi pada 6 Februari 2023.

“Kita boleh mencapai kejayaan pembinaan dan pemulihan yang sama di Gaza. Sudah tentu, kita boleh membawa Gaza kembali bangkit dalam masa yang sangat singkat. Asalkan wang ini, yang rakyat Gaza sudah berhak mendapat, dikumpulkan dari Israel.

“Begitu juga rumah, tanah dan tempat kerja yang dirampas oleh negara Israel dan peneroka penyangak harus dikembalikan kepada rakyat Palestin,” katanya.

Erdogan berkata, sebagai tambahan kepada pembinaan semula Gaza, adalah penting untuk semua negara meningkatkan usaha ke arah penubuhan negara Palestin yang merdeka dan bersepadu secara geografi dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.

“Saya percaya bahawa semua ini adalah kewajipan persaudaraan dan hutang hati nurani kepada rakyat Palestin yang tertindas,” katanya.

Terdahulu, Erdogan bersama isteri, Emine Erdogan, tiba di Malaysia pada petang Isnin bagi memulakan lawatan kerja selama dua hari.

Lawatan rasmi itu bertujuan mengukuhkan hubungan rapat antara kedua-dua negara yang telah lama terjalin, terutamanya selepas penaiktarafan ke Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) pada Julai 2022.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat