Oleh: Hasif Hasan
ULASAN | Kes bunuh Zulfarhan: Mahkamah Persekutuan ketepikan hukuman mati 6 bekas pelajar UPNM, penjara 18 tahun kekal.
Berita pada Jumaat itu menerima banyak komen netizen.
Kenapa hukuman mati di bawah Seksyen 302 dan dipinda kepada hukuman di bawah 304(a) Kanun Kesiksaan.
Perbuatan tertuduh-tertuduh adalah menekap dengan seterika wap ke tubuh mangsa.
Adakah itu zalim dan tidak berperi kemanusiaan. Jawapan saya, ya.
Adakah perbuatan tersebut LAZIM menyebabkan kematian mangsa. Jawapannya TIDAK dan jawapan ini telah diterima di Mahkamah Persekutuan dan menjadi asas kepada keputusan Yang Arif Hakim.
Siapa yang memberi jawapan tersebut? – Pakar patologi kerajaan.
Menekap berbeza dengan menikam dan menyembelih yang LAZIM akan membunuh mangsa.
Jika ditikam atau disembelih maka saya percaya tertuduh akan kekal disabitkan dengan hukuman bunuh.

Saya merujuk keterangan SP 6 atau Saksi Pendakwaraya ke 6 yang dilaporkan akhbar.
Saksi penting ini telah memberi jawapan yang berbeza ketika disoal oleh pendakwaraya dan disoal balas oleh peguambela.
Elemen pertama dan kedua bagi pemakaian Seksyen 300(c) Kanun Keseksaan (KK) berjaya dibuktikan pendakwaan bagi kesalahan membunuh itu juga elemen penting seterusnya sama ada kecederaan dialami mangsa LAZIMNYA menyebabkan kematian.
“Dalam kes ini antara keterangan penting, adalah keterangan SP6 Dr Salmah Arshad (ahli patologi dan pakar forensik Hospital Serdang) yang menjalankan bedah siasat terhadap mangsa.
“Berdasarkan keterangan SP6, beliau bersetuju dengan pertanyaan pendakwa raya bahawa luka bakar atau kesan lecur pada mangsa pada LAZIMNYA menyebabkan kematian, di sini dalam membuat sesuatu dapatan, fakta mahkamah perlu meneliti keseluruhan keterangan SP6 dan keterangan lain mengenai isu kecederaan pada lazimnya menyebabkan kematian ini telah dibuktikan atau sebaliknya,” katanya.
Walaupun dengan ketiadaaan atau adanya pernyataan daripada saksi pakar, kecederaan dialami mangsa boleh menyebabkan kematian, mahkamah masih perlu meneliti keseluruhan keterangan yang relevan bagi membuat dapatan berhubung perkara itu.
Pada asasnya SP6 mendapati 90 luka bakar yang terdiri daripada kesan lecuran tahap satu hingga tiga yang meliputi 80 peratus badan mangsa, seperti dinyatakan terdahulu, SP6 juga bersetuju kesan lecur ini lazimnya menyebabkan kematian.
“Pada asasnya SP6 bersetuju bahawa luka bakar yang meliputi 80 peratus badan mangsa, lazimnya menyebabkan kematian, namun ketika disoal balas oleh peguam, saksi bersetuju bahawa luka bakar tahap tiga itu TIDAK secara automatik mengakibatkan kematian,” katanya.
Yang Arif Hasnah selanjutnya memetik keterangan Dr Salmah (ketika disoal balas) yang bersetuju bahawa berdasarkan luka bakar yang dialami Zulfarhan TIDAK semestinya akan menyebabkan kematian jika dirawat secukupnya.
SP6 mengubah pernyataannya ketika disoal peguam dengan menyatakan kesan kebakaran 30 dan 50 peratus BOLEH menyebabkan kematian tetapi TIDAK semestinya mengakibatkan mangsa meninggal dunia.
BOLEH dan TIDAK semestinya dua fakta berbeza dan kerana itu hukuman bunuh tidak boleh dikekalkan dan perlu dipinda kepada menyebabkan kematian mangsa tanpa niat membunuhnya.
Secara mudah difahami netizen, Yang Arif Hakim akan membuat keputusan berdasarkan keterangan saksi pakar yang hadir memberi keterangan secara bersumpah untuk bercakap benar di mahkamah.
***Penulis adalah Peguam dan aktif menulis di media sosial mengenai perundangan
Baca juga: