Kenyataan Annuar Musa tak jaga sensitiviti – anak bekas ADUN Mahkota

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Anak kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain menafikan satu majlis tahlil khas akan diadakan dengan kerjasama Perikatan Nasional (PN).

Menerusi kenyataan di laman sosial Facebooknya, Wan Mohd. Hibatullah Abu Bakar juga mempersoal kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Pengarah Operasi Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Annuar Musa pada Selasa.

“Bila ini? Saya sebagai anak sulung (Allahyarhamah) Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, tak tahu pun. Saya mohon jasa baik tidak gunakan simpati arwah emak saya sebagai bahan kempen,” katanya.

Dalam masa sama, beliau melahirkan rasa sedih dengan kenyataan Annuar itu yang disifatkan tidak menjaga sensitiviti keluarganya.

Terdahulu, Annuar menerusi laman sosial Facebook mendakwa akan mengadakan majlis khas untuk Allahyarham Sharifah Azizah dan majlis maulidurasul pada 24 September ini dengan kerjasama keluarga arwah.

Menurut Annuar, ia merupakan antara program yang disusun PN sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota yang mana beliau akan turun sekali lagi bersama-sama beberapa pemimpin PN lain bermula 22 September ini.

Sementara itu, Wan Mohd. Hibatullah menegaskan, keluarganya tetap setia bersama Barisan Nasional (BN) dan menghormati pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Malah beliau juga akan meneruskan perjuangan arwah ibunya bersama UMNO dan BN.

Sharifah Azizah meninggal dunia pada 2 Ogos lalu selepas dilaporkan kritikal akibat pendarahan dalaman ketika mendapatkan rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK).

Anda Mungkin Berminat