KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia membidas kenyataan Ahli Parlimen Machang yang didakwa mengeluarkan pandangan “tidak berasas dan dangkal” apabila mendakwa kerajaan berhasrat menjemput Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, ke Malaysia.
Ahli Majlis Pimpinan AMK, Farzana Hayani Mohd Nasir, menyifatkan kenyataan itu sebagai bukti kecetekan pemikiran dan kegagalan memahami prinsip asas diplomasi serta dasar luar negara yang Malaysia pegang sejak sekian lama.
“Malaysia tidak pernah dan tidak akan mengiktiraf Israel. Kita berdiri atas dasar kemanusiaan dan solidariti terhadap rakyat Palestin, sebagaimana ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Farzana menjelaskan, jemputan kepada bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dibuat kerana Malaysia menjadi tuan rumah ASEAN, dan bukan kerana menyokong dasar luar Amerika yang condong ke arah rejim Zionis.
Beliau menegaskan, dakwaan seumpama itu bukan sahaja tersasar daripada fakta, malah memperlekehkan pendirian moral serta diplomatik Malaysia di mata dunia Islam.

Menambah sindiran tajam terhadap pembangkang, Farzana turut mempersoalkan sikap hipokrit mereka yang lantang menuduh kerajaan bersimpati dengan Israel, sedangkan ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin, pesawat Israel pernah dibenarkan menggunakan ruang udara Malaysia.
“Lebih ironik apabila pihak yang kononnya memperjuangkan Palestin itulah yang pernah membela individu seperti Yusof Rawther yang secara terbuka menunjukkan simpati terhadap Israel,” Tambahnya.
Menurutnya lagi, hubungan antarabangsa bukan isu yang boleh dijadikan bahan jenaka atau modal politik murahan.
“Kalau Malaysia dipimpin oleh pemikiran sempit sebegini, negara akan tenggelam dalam politik kebencian dan gagal berdiri sebagai suara tegas dunia Islam,” katanya.
Baca juga:








