Keputusan AirAsia Bukti Sokongan Hak Pekerja Muslimah – Menteri Agama

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengucapkan tahniah kepada syarikat penerbangan AirAsia atas pengumuman dasar pakaian seragam baharu yang membenarkan kru kabin wanita memilih untuk berhijab ketika bertugas.

Dalam kenyataan beliau, Dr Mohd Na’im menyifatkan langkah itu sebagai progresif dan amat dialu-alukan kerana mencerminkan komitmen syarikat terhadap prinsip kepelbagaian, keterangkuman serta penghormatan kepada tuntutan agama.

“Saya ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada syarikat penerbangan terkemuka, AirAsia, atas pengumuman dasar pakaian seragam baharu yang lebih inklusif,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para asatizah dan pihak yang terlibat dalam perbincangan serta libat urus berterusan dengan AirAsia sehingga dasar ini berjaya direalisasikan.

“Tidak lupa juga untuk saya menyampaikan ucapan tahniah dan penghargaan khusus kepada para asatizah dan pihak yang terlibat yang telah gigih mengadakan perbincangan dan libat urus secara berterusan dengan pihak AirAsia.

“Usaha murni ini merupakan kunci kejayaan dalam merealisasikan pilihan seragam berhijab ini, yang dijangka akan mula dilaksanakan pada suku pertama tahun 2026,” katanya.

Dr Mohd Na’im berharap keputusan AirAsia itu akan menjadi teladan kepada syarikat-syarikat korporat lain di Malaysia untuk sentiasa prihatin terhadap kebebasan serta hak pekerja dalam menjalankan tuntutan agama mereka, selaras dengan semangat Perlembagaan dan nilai-nilai Malaysia MADANI.

Beliau turut mengingatkan dengan firman Allah SWT dalam Surah An-Nahl ayat 125.

“Serulah manusia ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) DENGAN HIKMAH dan berilah nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang terbaik.

“Sesungguhnya Tuhanmu jua yang lebih mengetahui orang yang mendapat hidayah,” kongsinya.

Anda Mungkin Berminat