Keputusan Kes Ibu Bapa Zayn Rayyan Diketahui Esok

KUALA LUMPUR: Nasib ibu bapa kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matin – Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf – sama ada akan dipanggil membela diri atau dibebaskan daripada pertuduhan mengabaikan anak mereka hingga menyebabkan kecederaan fizikal, bakal diketahui esok.

Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Dr Syahliza Warnoh dijadualkan menyampaikan keputusan di akhir kes pendakwaan pada jam 9 pagi.

Sekiranya mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujud kes prima facie terhadap pasangan tersebut, mereka akan dipanggil untuk membela diri. Sebaliknya, jika tiada kes prima facie, kedua-duanya akan dilepas dan dibebaskan.

Pendakwaan telah menutup kes pada 24 April lalu selepas memanggil 28 saksi sepanjang 20 hari perbicaraan yang bermula pada 4 Februari.

Antara saksi yang dipanggil termasuk individu pertama yang menemui mayat Zayn Rayyan, Faizul Najib Abd Munaim; pengasuhnya, Auni Afiqah Abas; pakar forensik, Dr Rohayu Shahar Adnan; tiga pegawai penyiasat, serta dua saksi kanak-kanak berusia 10 tahun.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi, manakala Zaim Ikhwan dan Ismanira diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.

Pasangan itu, masing-masing berusia 30 tahun, didakwa mengabaikan Zayn Rayyan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal antara jam 12 tengah hari pada 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember 2023, di sekitar Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai hingga ke kawasan sungai berhampiran.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Zayn Rayyan, 6 tahun, dilaporkan hilang pada 5 Disember 2023, dan mayatnya ditemukan keesokan harinya di aliran anak sungai berhampiran rumahnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat