Kerajaan ambil langkah berani, siasat dan dedah aktiviti pencampuran beras

PETALING JAYA: Kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi komitmen sepenuhnya dalam menyiasat isu kehilangan beras putih tempatan (BPT) serta dakwaan pencampuran beras dengan memperkenalkan teknologi baharu melalui penggunaan cap jari asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengesan sebarang pencampuran.

Menurut kenyataan KPKM, berdasarkan hasil siasatan menggunakan teknologi tersebut, KPKM mendapati Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) serta perundangan subsidiari di bawahnya tidak mempunyai peruntukan jelas bagi pendakwaan kesalahan pencampuran beras di mahkamah.

Kajian Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara (JKKMN) pada 17 Disember lalu turut mendedahkan, pencampuran BPT dan beras putih import (BPI) telah berlaku sejak tahun 1970-an, namun tiada tindakan diambil bagi mengawal aktiviti tersebut.

“Sehubungan itu, Kerajaan mengambil tanggungjawab untuk mengawal amalan tersebut dengan mengambil kira pandangan pesawah, pengguna dan industri.

“Susulan Mesyuarat JKKMN tersebut dan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 Disember lepas, KPKM telah diarah untuk memperhalusi kaedah dan mekanisme terbaik untuk mengawal percampuran BPT dan BPI melalui perundangan serta merangka simulasi cadangan penetapan harga bersesuaian bagi kategori beras campuran secara komprehensif untuk pertimbangan Jemaah Menteri,” kata kenyataan itu.

Selain itu, KPKM juga diminta merangka simulasi cadangan penetapan harga yang bersesuaian bagi kategori beras campuran secara komprehensif untuk pertimbangan Jemaah Menteri.

“Untuk makluman, mekanisme bagi mengawal percampuran turut mendapat sokongan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sebagai usaha penyelesaian jangka panjang,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, bagi mencari penyelesaian bersifat ‘menang menang’ kepada pesawah, pemain industri dan pengguna, KPKM memaklumkan Kerajaan telah memulakan reformasi besar-besaran terhadap sektor padi serta beras negara secara berfasa mulai Oktober 2024.

Antara langkah awal adalah dengan menstruktur semula tadbir urus bagi mengelakkan konflik kepentingan, mengkaji semula Akta 522, menubuhkan Agensi Regulatori dan Penguatkuasaan Agromakanan Malaysia (MAREA) dan memperkasakan peranan MARDI dalam mengenal pasti varieti beras menerusi teknologi DNA.

“KPKM berharap semua langkah yang diambil ini akan mendapat sokongan semua pihak bagi memastikan industri padi dan beras negara kekal mampan serta bekalan beras yang stabil dan berpatutan untuk rakyat Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat