PETALING JAYA: Malaysia kini melangkah ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih seimbang dan inklusif, meninggalkan pendekatan mengejar angka semata-mata seperti era ‘Harimau Asia’ 1990-an.
Menurut Ketua Penganalisis Ekonomi, Dr Afzanizam Abdul Rashid, kerajaan kini menilai kejayaan ekonomi berasaskan kesejahteraan rakyat dan agihan pendapatan yang adil, bukan sekadar lonjakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Pertumbuhan tinggi seperti dahulu memang memberi kesan besar tetapi kita tidak boleh lupakan bagaimana ia turut menyumbang kepada krisis kewangan Asia pada 1997 hingga 1998.
“Dalam konteks hari ini, kerajaan lebih fokus kepada pertumbuhan yang stabil, menyediakan pekerjaan berkualiti, meningkatkan kuasa beli rakyat dan mengurangkan jurang pendapatan antara kaya dan miskin,” katanya kepada Malaysia Bangkit.
Afzanizam turut menyokong usaha kerajaan menegakkan keadilan ekonomi menerusi bantuan bersasar serta sumbangan lebih besar daripada golongan berpendapatan tinggi.
Tambah beliau, Malaysia memiliki kelebihan tersendiri untuk terus berkembang sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ASEAN yang stabil.
“Masyarakat majmuk yang fasih berbahasa Inggeris serta dasar kerajaan yang mesra pelabur sepatutnya menjadi nilai tambah yang mengukuhkan keyakinan pelabur asing,” katanya.
Mengulas bantuan tunai dan penyasaran subsidi, Afzanizam menyifatkan langkah seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebagai bukti kerajaan menyesuaikan dasar fiskal dengan keperluan semasa rakyat.
“Konsolidasi fiskal sejak dua hingga tiga tahun lalu membolehkan kerajaan memberi lebih banyak bantuan kepada rakyat tanpa mengabaikan kedudukan kewangan negara,” jelasnya.
Beliau turut menyatakan bahawa Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) akan menjadi landasan penting untuk menetapkan hala tuju ekonomi jangka sederhana dan panjang negara.
“Jika naratif pertumbuhan berkualiti ini dapat dilaksanakan secara konsisten dengan inflasi yang stabil dan dasar yang adil, maka inilah takrif sebenar pertumbuhan mampan yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat,” katanya.