Kerajaan komited perluas liputan 5G, jamin harga berpatutan

PARLIMEN | Kerajaan memberi jaminan bahawa pembangunan teknologi 5G akan terus diperluaskan ke seluruh negara, termasuk kawasan luar bandar.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, selain memastikan kelajuan internet yang tinggi, kerajaan turut memberi tumpuan kepada keselamatan data rakyat dan harga pakej yang berpatutan.

“Internet laju boleh bawa manfaat, tetapi juga mudarat. Sebab itu, Kempen Internet Selamat dilaksanakan bagi mendidik rakyat, termasuk pelajar sekolah, tentang ancaman seperti ‘scam’, ‘spam’ dan buli siber,” jelasnya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Mengulas mengenai kos, beliau berkata kerajaan menetapkan harga borong bagi rangkaian 5G kedua tidak melebihi RM0.13 per 1Gbps, seperti disyaratkan kepada syarikat U Mobile.

Katanya, matlamat utama adalah memastikan rakyat mendapat akses internet berkelajuan tinggi yang mampu dimanfaatkan, dan pengguna boleh membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sekiranya terdapat isu perkhidmatan.

Sehingga 31 Julai, kadar liputan rangkaian di kawasan berpenduduk seluruh negara telah mencapai 98.82 peratus, manakala di Tanjong Karang pula mencatat 99.75 peratus.

Digital Nasional Berhad (DNB) telah menyiapkan 7,489 tapak pemancar, meliputi 82.4 peratus kawasan berpenduduk di seluruh negara. Di Tanjong Karang sahaja, terdapat 19 tapak 5G aktif dengan 85 peratus liputan.

Tambah beliau, perluasan ke kawasan luar bandar akan dijalankan secara berperingkat mengikut keperluan, dan kadar penembusan jalur lebar mudah alih 5G kini mencapai 82.7 peratus, bersamaan lebih 28 juta akaun pengguna di seluruh negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat