PUTRAJAYA: Kerajaan menzahirkan komitmen penuh untuk menyelesaikan segera isu teknikal dan penyalahgunaan MyKad yang menjejaskan penebusan bantuan subsidi bersasar Sumbangan Asas Rahmah (SARA), demi memastikan hak rakyat tidak dinafikan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan tidak akan membiarkan mana-mana penerima yang layak teraniaya akibat kelemahan sistem atau penyalahgunaan identiti.
“SARA adalah hak rakyat. Sekiranya berlaku penyalahgunaan MyKad, baki sumbangan akan dipulangkan semula kepada penerima yang terlibat setelah disahkan melalui siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, pemegang MyKad yang terjejas perlu membuat laporan polis sebagai langkah awal sebelum siasatan dijalankan oleh Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Siasatan itu katanya, bertujuan mengenal pasti punca masalah dan memastikan hak penerima dikembalikan sepenuhnya.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui JPN kini bekerjasama rapat dengan MOF untuk menangani isu teknikal berkaitan pengesahan dan keselamatan MyKad menjelang pusingan seterusnya penyaluran subsidi bersasar.
Antara langkah penambahbaikan yang sedang dilaksanakan termasuk pemadanan data MyKad secara berkala, semakan versi kad bagi mengelakkan salah guna, serta peningkatan keselamatan infrastruktur digital JPN.
Saifuddin turut berkata, kerajaan komited memastikan pelaksanaan subsidi bersasar dilakukan secara telus, selamat dan adil agar bantuan sampai tepat kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
Program SARA merupakan sebahagian daripada agenda Ekonomi Madani yang disalurkan secara digital kepada golongan berpendapatan rendah, sebagai usaha meringankan beban kos sara hidup rakyat.








