CYBERJAYA: Malaysia terus memperkukuh komitmen dalam menangani krisis bandar secara mampan dan berdaya tahan dengan menekankan bahawa tiada komuniti harus terpinggir daripada arus pembangunan negara.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kerajaan bukan sahaja memperkasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tetapi turut memperluas kerjasama di peringkat serantau dan antarabangsa demi membentuk bandar yang lebih inklusif dan sejahtera.
“Perancangan bandar yang inklusif, selamat dan berdaya tahan tidak boleh kekal sebagai wacana.
“Ia mesti diterjemahkan kepada tindakan bersepadu yang melibatkan semua pihak iaitu kerajaan, PBT, sektor swasta dan komuniti,” katanya ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Habitat Sedunia (SHHS) Peringkat Malaysia 2025 di Semarak Hall, Cyberjaya, pada Selasa.
Sambutan bertemakan ‘Urban Crisis Response’ itu berlangsung selama dua hari, menampilkan pelbagai aktiviti seperti Urban Resilience Clinic, Pocket Talk bersama agensi penyelamat serta pertandingan komuniti kreatif yang melibatkan pelajar dan masyarakat setempat.
Dalam ucapannya, Nga menekankan bahawa pendekatan kerajaan bukan sekadar memperindah fizikal bandar tetapi lebih penting lagi, membina komuniti yang kuat dan mampu bertahan menghadapi cabaran masa depan.
“Kita tidak hanya mahu bandar yang cantik dan moden tetapi juga bandar yang berjiwa rakyat, di mana kesejahteraan penduduk menjadi keutamaan,” katanya.
Beliau turut menyeru semua agensi kerajaan dan pihak berkepentingan agar terus berganding bahu memperkukuh struktur pentadbiran bandar selaras dengan agenda pembangunan mampan negara.
“Kekuatan sesebuah bandar tidak hanya diukur pada bangunannya tetapi pada daya tahan masyarakatnya.
“Inilah semangat yang ingin kita semarakkan melalui Hari Habitat Sedunia,” katanya.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh pengurusan tertinggi KPKT, Datuk Bandar, wakil kedutaan asing serta pemimpin tempatan dan wakil PBT dari seluruh negara.