Kerajaan Perpaduan Ambil Perhatian Semua Teguran – Asyraf Wajdi

PETALING JAYA: Kerajaan Perpaduan memberi jaminan akan mengambil perhatian terhadap semua teguran yang dikemukakan terhadap pentadbiran semasa, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh dasar dan tadbir urus negara.

Ketegasan itu dinyatakan oleh Ketua Sekretariat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurut Asyraf, Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut bersetuju untuk menilai semula pencapaian yang telah digarap oleh Kerajaan Perpaduan.

“Mesyuarat turut bersetuju agar kajian separuh penggal pencapaian Kerajaan Perpaduan yang sedang dilakukan di peringkat Jemaah Menteri dibentangkan kepada Majlis Perundingan Pimpinan bagi menilai perkara yang dipersetujui bersama,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa mesyuarat bersetuju untuk menghormati pandangan berbeza daripada setiap parti gabungan, sebagai asas kepada semangat kerjasama dan perpaduan.

Selain itu, katanya, perbincangan turut memberi tumpuan kepada usaha memantapkan ekonomi negara serta memperkukuh program kesejahteraan rakyat.

Menyentuh mengenai Pilihan Raya Negeri Sabah, Asyraf berkata, mesyuarat telah dimaklumkan mengenai penubuhan Jawatankuasa Teknikal bagi meneliti aspek kerjasama antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Dalam perkembangan berkaitan, mesyuarat turut merakamkan ucapan tahniah kepada Malaysia dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kejayaan memeterai perjanjian perdamaian antara Thailand dan Kemboja.

Anda Mungkin Berminat