PETALING JAYA: Kerajaan MADANI akan terus berpegang teguh kepada agenda reformasi negara dengan menjadikan integriti sebagai tonggak utama pentadbiran, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, kerajaan tidak akan berundur atau berkompromi dalam usaha membanteras rasuah kerana hanya dengan kebertanggungjawaban dan kredibiliti, pertumbuhan ekonomi yang mampan dapat dicapai.
“Tiada toleransi terhadap rasuah dan tiada pengecualian kepada mereka yang berkepentingan.
“Tanpa kebertanggungjawaban, tiada kredibiliti. Dan tanpa kredibiliti, tiada pertumbuhan mampan,” katanya.
Anwar menyampaikan komitmen itu ketika berucap pada Forum Ekonomi Malaysia 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Khamis.
Menurut beliau, sekiranya Malaysia kekal di landasan reformasi, negara akan terus berkembang secara mampan, inklusif dan bermaruah.
Katanya, pencapaian yang dinikmati kini bukanlah kebetulan tetapi hasil daripada usaha berterusan untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap kewangan awam dan institusi negara.
“Keyakinan tidak dibina melalui slogan atau langkah jangka pendek.
“Ia lahir daripada konsistensi, kejelasan niat dan jaminan bahawa reformasi dilaksanakan secara berterusan, bukan bermusim,” katanya.
Menyentuh aspek kewangan, Anwar menekankan bahawa sistem kewangan dan mata wang sesebuah negara adalah cerminan tahap kepercayaan terhadap institusi serta dasar yang dilaksanakan.
Dengan keyakinan itu, beliau percaya Malaysia akan terus menarik minat pelabur, memperlihatkan kemajuan ekonomi yang jelas dan pada masa sama memastikan rakyat merasai manfaat daripada setiap langkah reformasi yang digerakkan.








