Kerajaan Mula Salur STR Hari Ini

PETALING JAYA: Kerajaan Madani, hari ini memulakan pengagihan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3, melibatkan seramai 8.6 juta penerima di seluruh negara.

Bantuan berjumlah RM2 bilion itu disalurkan bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat berpendapatan rendah, selaras dengan aspirasi Ekonomi Madani yang inklusif dan adil.

Dalam satu hantaran di Facebook, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan bahawa jumlah penerima STR Fasa 3 meningkat sebanyak 300,000 orang berbanding Fasa 1 yang dilaksanakan pada Januari lalu.

Penerima layak akan menerima bantuan sehingga RM650, bergantung kepada kategori kelayakan masing-masing.

“Tahun ini Kerajaan Madani salurkan RM2 bilion untuk bantu 8.6 juta penerima yang bakal menerima sehingga RM650.

“Penerima turut bertambah naik 300,000 orang berbanding Fasa 1 bulan Januari lepas,” katanya.

Menurut kementerian itu lagi, STR bukan sekadar bantuan kewangan tetapi turut berperanan sebagai inisiatif untuk memupuk semangat kebebasan kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia.

MOF berkata, ia dilihat sebagai satu langkah strategik dalam memperkukuh asas ekonomi rakyat dan menyumbang kepada kesaksamaan sosial dalam pembangunan negara.

Difahamkan, mekanisme pembayaran STR Fasa 3 akan dilaksanakan secara berperingkat.

MOF berkata, bagi penerima yang mempunyai akaun bank, bayaran akan dikreditkan terus ke akaun masing-masing.

Manakala bagi mereka yang tidak mempunyai akaun bank, pembayaran boleh dituntut secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) mengikut jadual yang ditetapkan.

“Langkah ini diharapkan dapat memperkukuh asas ekonomi rakyat serta menyumbang kepada kesaksamaan sosial dalam pembangunan negara,” kata kementerian itu.

Anda Mungkin Berminat