Kerajaan naikkan bantuan tanam semula getah di Semenanjung, Sabah

KUALA LUMPUR: Kerajaan menaikkan kadar bantuan Program Tanam Semula Getah di Semenanjung Malaysia dan Sabah sebagai langkah memperkukuh sokongan kepada pekebun kecil dalam menghadapi peningkatan kos serta ketidaktentuan ekonomi global.

Langkah itu dilaksanakan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersama RISDA dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketiga Belas.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata kenaikan tersebut dibuat selepas meneliti peningkatan kos pembangunan kebun serta keperluan sebenar di peringkat lapangan.

“Kenaikan kadar bantuan ini dibuat selepas meneliti peningkatan kos pembangunan kebun serta keperluan sebenar pekebun kecil di peringkat lapangan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, kadar bantuan di Semenanjung Malaysia dinaikkan daripada RM13,710 sehektar kepada RM20,000 sehektar.

Di Sabah pula, kadar bantuan meningkat daripada RM14,955 kepada RM23,000 sehektar.

Beliau berkata, kadar baharu itu akan dilaksanakan bermula tahun ini melalui pembayaran secara lima ansuran bagi memudahkan pekebun kecil mengurus pembangunan kebun.

“Langkah ini bertujuan mengurangkan beban kos permulaan dan membantu pekebun kecil mengurus pembangunan kebun secara lebih terancang dan berkesan,” katanya.

Sepanjang tempoh RMK-13, inisiatif berkenaan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 33,000 pekebun kecil dengan sasaran keluasan tanam semula sebanyak 50,000 hektar.

Dalam jangka panjang, usaha itu diunjurkan mampu meningkatkan pendapatan pekebun kecil sehingga sekitar RM4,700 sebulan bagi setiap isi rumah.

Ahmad Zahid berkata, langkah menaikkan kadar bantuan itu membuktikan komitmen kerajaan dalam membela nasib pekebun kecil getah di seluruh negara.

“Kerajaan akan terus memastikan sektor pekebun kecil kekal mampan serta mampu meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat