Pelbagai usaha telah dilakukan Kerajaan MADANI bagi memastikan penduduk di Wilayah Persekutuan Labuan dapat menikmati infrastruktur bekalan air dan elektrik dalam keadaan terbaik, sekali gus menarik minat pelabur untuk melabur.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, kerajaan telah merangka pembangunan sistem bekalan elektrik dan air untuk dilaksanakan dalam pelbagai projek.
“Bagi sistem bekalan elektrik, kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan mewujudkan stesen jana kuasa yang baharu dengan kapasiti 100 hingga 130 megawatt (MW) yang bermula operasi pada 2028 dengan usahasama Petronas Gas Berhad (PGB), Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) dan Sabah Energy Corporation Sdn. Bhd. (SEC).
“Selain itu, beberapa projek ladang solar juga sudah selesai dibangunkan di Bukit Klaam dan Tanjung Kubong, Labuan yang akan beroperasi pada 30 April depan di samping peningkatan kapasiti penjanaan 10 MW Pencawang Pembahagi Utama Enoe yang dijangka akan siap pada penghujung Mac nanti,” katanya dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Datuk Indera Dr. Suhaili Abdul Rahman mengenai masalah bekalan air dan elektrik yang meruncing hingga menjejaskan minat pelabur di Labuan.
Sementara itu, menjawab mengenai bekalan air, Zaliha menyatakan projek bekalan air dengan peruntukan RM300 juta bagi memastikan penduduk berjaya memperoleh air mentah yang cukup.
“Peruntukan tersebut digunakan untuk mengganti sistem pengepaman, peningkatan kapasiti simpanan air, penambahan takungan air mentah dan penggantian paip di sana,” katanya.
Dalam pada itu, terdapat empat projek jangka pendek yang sedang dilaksanakan termasuk kerja-kerja penggantian sistem pam, kerja-kerja baik pulih tangki dan pelbagai kerja-kerja lain yang ditumpukan di Pulau Enoe, Bukit Kallam Kerupang Rumah Pam Arsat dan Kampung Lawa Gadong di Beaufort.
Baca juga: