PARLIMEN | Kerajaan terus memperkukuh usaha memerangi rasuah melalui pembentangan Rang Undang-Undang Perlindungan Pemberi Maklumat (Pindaan) 2025, yang dibacakan buat kali kedua di Dewan Rakyat, hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, antara tahun 2011 hingga 2023, pihak berkuasa telah menerima dan menyiasat sebanyak 74,614 aduan berkaitan kelakuan tidak wajar.
Sementara itu, katanya, seramai 1,139 individu diiktiraf sebagai pemberi maklumat dan diberikan perlindungan di bawah Akta 711.
“Kerajaan komited memperkukuh perlindungan terhadap pemberi maklumat sebagai sebahagian daripada usaha memerangi rasuah dan meningkatkan integriti dalam sektor awam dan swasta,” katanya ketika membacakan Rang Undang-Undang tersebut.
Bagaimanapun, Azalina berkata, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 masih mempunyai kelemahan selepas lebih satu dekad dilaksanakan dan justeru perlu diperkukuh agar kekal relevan dan berkesan.
Beliau turut merujuk kepada amalan di negara seperti United Kingdom, Australia dan New Zealand yang meletakkan kepentingan awam sebagai asas utama membenarkan pendedahan maklumat sulit.
“Undang-undang mereka melindungi pemberi maklumat yang bertindak secara jujur walaupun pendedahan itu melibatkan maklumat sulit atau tertakluk kepada kontrak kerahsiaan,” katanya.
Azalina turut berkata, New Zealand dan Jepun membenarkan perlindungan ditarik balik sekiranya pendedahan dilakukan atas dasar niat jahat, keuntungan peribadi atau untuk merosakkan pihak lain.
“Malaysia perlu mengambil langkah progresif untuk memperkukuh sistem perlindungan agar lebih ramai individu berani tampil demi kepentingan negara dan masyarakat,” katanya lagi.








