PETALING JAYA: Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan (JKKAS) Bil. 2/2025 yang dipengerusikan pada Khamis memberi fokus kepada strategi pemulihan sungai melalui pendekatan pengurusan bersepadu.
Pengerusi JKKAS merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan serta semua pihak berkepentingan perlu diselaraskan bagi memastikan sungai di seluruh negara kekal bersih dan selamat.
Menurut laporan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi tahun 2024, daripada 672 sungai utama dipantau, 475 sungai berada pada tahap bersih, 170 sungai pula pada tahap sederhana tercemar dan 27 sungai pada tahap tercemar.
Antara parameter utama pencemar dikenal pasti termasuk Biochemical Oxygen Demand (BOD), Chemical Oxygen Demand (COD), Ammonia Nitrogen (AN), Total Suspended Solids (TSS) dan Dissolved Oxygen (DO).
Mesyuarat turut meluluskan piawaian baharu pelepasan efluen air sisa bandar dan luar bandar merangkumi 11 parameter utama seperti pH, minyak dan gris, nitrogen, merkuri, pepejal terampai, warna serta sisa pepejal.
PETRA bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Kerajaan Negeri akan menyelaras bengkel bagi memperincikan piawaian tersebut sebelum dilaksanakan di sistem perparitan.
“Langkah strategik ini diyakini dapat memulihkan kualiti sungai, menjaga kesihatan rakyat serta menyokong ekonomi negara dalam menghadapi cabaran pencemaran global,” katanya lagi.
Selaras aspirasi Malaysia MADANI, kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri menegaskan komitmen berterusan memastikan sungai negara kekal bersih, selamat dan lestari demi kesejahteraan generasi kini serta masa depan.
Baca juga: