PETALING JAYA: Kerajaan Madani terus menunjukkan komitmen terhadap kebajikan rakyat khususnya murid sekolah rendah dengan memperluaskan pelaksanaan Program Sarapan Pagi Madani di seluruh Kuala Lumpur sebagai langkah awal memastikan anak-anak memulakan hari dengan hidangan berkhasiat.
Menerusi hantaran di Facebook, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa memaklumkan bahawa program tersebut dilancarkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Permaisuri dan akan diperluas ke 13 sekolah rendah lain di ibu negara, melibatkan kira-kira 10,000 murid.
“Pelbagai kajian berkaitan malnutrisi kanak-kanak termasuk di Kuala Lumpur mendapati berlaku beban berganda kekurangan zat makanan, di mana keadaan ini menunjukkan ada anak-anak yang tidak cukup zat, dan ada pula yang terlebih kalori tanpa khasiat,” katanya.
Menurut beliau, masalah kekurangan zat makanan bukan sahaja menjejaskan imuniti dan tumpuan dalam pembelajaran, malah boleh memberi kesan jangka panjang terhadap produktiviti dan kesihatan apabila dewasa.
“Risikonya ialah imuniti lemah, kesukaran untuk fokus dalam pelajaran serta kurang produktif apabila dewasa.
“Malah, kanak-kanak ini berpotensi menghidap penyakit kronik seperti diabetes dan darah tinggi pada masa depan,” katanya.
Bagi memperkukuh pelaksanaan program, Dr Zaliha berkata, kerajaan telah meluluskan peruntukan tambahan agar lebih banyak sekolah dapat dilibatkan dalam inisiatif ini.
“Setiap ringgit yang dilaburkan adalah pelaburan jangka panjang untuk kesihatan, kecerdasan dan produktiviti generasi akan datang.
“Inilah makna ihsan dalam roh Madani,” jelas beliau.








