Kerajaan perluas skop pengecualian cukai perkhidmatan terhadap sektor logistik

Kerajaan optimis memastikan agar skop pengecualian antara perniagaan (business to business atau B2B) perkhidmatan logistik diperluaskan untuk meliputi penyediaan perkhidmatan.

Menerusi kenyataan Kementerian Kewangan, kerajaan telah memberi kemudahan pengecualian di mana penyedia perkhidmatan logistik tidak perlu membayar cukai perkhidmatan ke atas perolehan komponen perkhidmatan logistik yang sama.

“Ini adalah untuk mengurangkan insiden cukai berganda atau kesan melata daripada pengenaan cukai atas cukai bagi beberapa lapisan rantaian bekalan logistik.

“Kementerian Kewangan juga akan terus mengadakan sesi libat urus dengan pihak industri, terutamanya logistik untuk memuktamadkan pindaan ini,” kata kenyataan berkenaan.

Selain B2B, sebelum ini kerajaan telah mengecualikan cukai perkhidmatan buat lima perkhidmatan logistik termasuk barang yang dieksport terus, aktiviti transhipment, transit, door to door dan penghantaran makanan dan minuman melalui e-dagang.

Dalam pada itu, Kementerian turut mengenakan cukai perkhidmatan 6 peratus mulai 1 April depan untuk memudahkan pemain industri meminda sistem pengkomputeran mereka.

Terdahulu, media melaporkan Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan menangguhkan cukai 6 peratus atas perkhidmatan logistik akan memberi impak terhadap kenaikan kos barang yang dijual dalam negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat